Kuala Lumpur – Dengan komitmen dan iltizam berterusan untuk membantu mereka yang memerlukan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneruskan usaha murni Box of Hope dengan menyalurkan sumbangan bantuan makanan asas kepada 120 keluarga di Flat Desa Mentari, Petaling Jaya.
Di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara, Air Selangor telah mengagihkan 120 kotak bantuan barangan makanan asas terdiri daripada beras, minyak, gula, barangan kering, dan tepung bernilai RM12,000.
Berlangsung di Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Petaling, penyerahan kotak Box of Hope ini telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari kepada wakil persatuan penduduk Flat Desa Mentari, sambil disaksikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah.
Sehingga Mac 2023, lebih 3,300 kotak Box of Hope telah diagihkan kepada komuniti B40 dan rumah kebajikan terpilih di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak dilancarkan pada Jun 2020. Pengagihan kotak Box of Hope dilaksanakan hasil kerjasama istimewa antara Air Selangor, Yayasan Food Bank Malaysia dan Village Grocer dengan penumpuan khusus untuk komuniti B40.
Kaedah sumbangan Box of Hope dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam, dan Melawati Mall Ampang. Orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan ikhlas melalui akaun bank dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif Box of Hope.
Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di https://www.airselangor.com/sesamamara/.
-TAMAT-