Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memberikan penjelasan berhubung insiden tanah runtuh di Bukit Permai, Ampang, yang telah melibatkan salah seorang pekerja kontraktor lantikan Air Selangor dan bukan warga kerja Air Selangor seperti yang telah dilaporkan oleh pihak media semalam.
Untuk makluman, enam (6) orang pekerja kontraktor lantikan Air Selangor telah berada di kawasan kejadian 10 Mac 2022 bagi melaksanakan pemeriksaan tapak serta kerjakerja pembaikan paip injap.
Sewaktu insiden tersebut, salah seorang daripada pekerja kontraktor lantikan kami telah terperangkap dan tidak berjaya untuk melepaskan diri. Susulan usaha mencari dan menyelamat tersebut, mangsa telah dijumpai dan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk tujuan bedah siasat.
Kami di Air Selangor berdukacita dan amat mengambil berat atas implikasi insiden tanah runtuh yang telah menimpa semua mangsa, khususnya pekerja kontraktor lantikan terbabit yang berada di tapak bagi melaksanakan tugas mereka. Di Air Selangor, kami menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan semua warga kerja kami, termasuk juga para pekerja kontraktor lantikan kami semasa melakukan tugasan di tapak.
Kami akan terus bekerjasama bersama pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan bagi membantu pekerja-pekerja kontraktor lantikan kami yang terkesan susulan insiden ini.
-TAMAT-