27 APRIL 2021
Kuala Lumpur – Situasi pandemik COVID-19 terus menghimpit kehidupan seharian masyarakat setempat. Dengan iltizam untuk membantu mereka yang memerlukan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini meneruskan usaha murni “Box of Hope” dengan mengagihkan sumbangan bantuan makanan asas yang didermakan oleh orang ramai ini kepada 100 keluarga dan individu dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia.
Menerusi kerjasama istimewa antara Air Selangor, Village Grocer dan Yayasan Food Bank Malaysia ini, sumbangan keseluruhan yang telah diagihkan kepada golongan B40 yang amat memerlukan ini pada tahun ini telah memberi manfaat kepada 180 keluarga dan jumlah keseluruhan ‘Box of Hope’ sejak dilancarkan pada 30 Jun 2020 telah membantu seramai 500 buah keluarga daripada golongan B40 yang memerlukan bekalan makanan asas untuk kelangsungan hidup terutama untuk mendapatkan sumber makanan harian mereka.
Inisiatif ‘Box of Hope’ telah dilancarkan dengan matlamat untuk membantu komuniti B40 yang kesempitan hidup untuk menyediakan makanan asas sepanjang tempoh pandemik COVID-19. Orang ramai boleh memberi sumbangan barangan makanan asas seperti tepung, beras, makanan dalam tin, susu dan minyak di lima lokasi ‘Box of Hope’ Village Grocer di Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall.
Selain itu, orang ramai yang ingin membantu juga boleh membuat sumbangan melalui akaun bank dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif ‘Box of Hope’. Menerusi platform akan bank ini, orang ramai boleh terus membuat sumbangan tanpa perlu ke cawangan Village Grocer atau mana-mana pejabat wilayah Air Selangor.
Air Selangor akan membeli barangan makanan asas hasil sumbangan wang anda untuk didermakan kepada golongan B40 yang memerlukan. Dengan adanya akaun bank ini, Air Selangor berharap agar lebih banyak individu dan organisasi akan bersama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan. Air Selangor berharap agar inisiatif ini terus mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai untuk menderma.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ‘Box of Hope’ dan program-program Sesama Mara yang lain, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
– TAMAT –