Kuala Lumpur – Dalam menyemarakkan amalan membantu mereka yang memerlukan di bulan Ramadan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menghulurkan bantuan kepada tiga buah rumah kebajikan pada 4 April 2023 menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Sesama Mara.
Menerusi program ini, Air Selangor telah menyumbang barangan makanan asas terdiri daripada beras, minyak, gula, barangan kering, dan tepung, serta barangan keperluan rumah kepada Pusat Jagaan Warga Emas Kaseh Bonda, Rawang, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah, Gombak, dan Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak – Asnaf & Anak Yatim, Kuala Lumpur. Barangan kelengkapan sekolah juga turut disumbangkan kepada rumah-rumah anak yatim tersebut.
Pada masa yang sama, bagi meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan, Air Selangor turut mengambil langkah proaktif untuk bekerjasama dengan Hospital Pakar KPJ Damansara untuk melakukan saringan kesihatan asas percuma dan memberikan penerangan kesihatan khusus untuk kanak-kanak di Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak.
Saringan kesihatan yang dilakukan oleh kakitangan Hospital Pakar KPJ Damansara tersebut merangkumi pemeriksaan indeks jisim tubuh (BMI), tekanan darah dan kandungan gula dalam darah, yang penting dalam membantu mereka mengesan simptom dan risiko awal sebarang penyakit.
Selain itu, Air Selangor juga mengambil inisiatif untuk memeriksa keadaan paip dalaman di rumah-rumah kebajikan ini untuk memastikan kesemua penghuni tinggal di dalam keadaan selesa.
Air Selangor berharap agar usaha baik ini dapat meringankan beban perbelanjaan rumah-rumah kebajikan ini dalam membuat persiapan untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti B40 di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com/sesamamara/.
-TAMAT-