31 Julai 2023
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneruskan usaha murni Box of Hope dengan mengagihkan sumbangan bekalan makanan asas kepada 100 buah keluarga di PPR Kerinchi Lembah Pantai di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Sesama Mara.
Menerusi kerjasama istimewa antara Air Selangor, Yayasan Food Bank Malaysia dan Village Grocer, para penerima sumbangan telah diberikan barangan makanan asas seperti beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung. Sebanyak 3,875 kotak ‘Box of Hope’ telah diagihkan sehingga kini kepada keluarga B40 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak inisiatif ini mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020.
Selaras dengan semangat untuk terus membantu komuniti yang memerlukan, Air Selangor turut mengumumkan program sukarelawan terbaharu mereka – Hydro Heroes. Program sukarelawan ini telah dilancarkan pada 28 Jun lalu, dan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan pendaftaran seramai 150 orang sukarelawan dalam kalangan warga kerja Air Selangor. Bagi program pengagihan Box of Hope di PPR Kerinchi Lembah Pantai tersebut, para sukarelawan tersebut terlibat secara aktif dalam mengisi, membungkus, dan mengedarkan Box of Hope kepada para penerima bantuan.
Air Selangor berharap bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa kegembiraan disamping memperkukuhkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Kaedah sumbangan Box of Hope dalam bentuk pembelian fizikal boleh dilakukan di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang.
Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang www.airselangor.com/boxofhope/.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di https://www.airselangor.com/sesamamara/.
-TAMAT-