3:30 petang
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Langat (LRA Sg Langat) sedang giat dilaksanakan. Sehingga jam 3:00 petang, peratusan kerja adalah pada tahap 72% dan mengikut jadual.
Kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset ini dijangka akan siap pada jam 7:00 malam, 10 Oktober 2023 (Selasa). Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12:00 tengah hari, 12 Oktober 2023 (Khamis).
Air Selangor akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
-TAMAT-