Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Labohan Dagang (LRA Labohan Dagang) telah beroperasi sepenuhnya berikutan henti tugas sementara akibat gangguan bekalan elektrik yang disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan kecemasan peralatan elektrik di Sub Stesen Utama Olak Lempit oleh pihak TNB.
Bekalan air telah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula pada jam 5:00 pagi, 24 Mei 2024 (Jumaat). Senarai kawasan yang terjejas adalah seperti di Lampiran A.
Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor terus giat menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terlibat bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.