Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), penyedia perkhidmatan air terbesar negara, hari ini mengumumkan pemenang untuk Data & Digital Hackathon 2024, yang buat julung-julung kalinya diadakan, yang mana cetusan idea inovatif mereka bakal membawa revolusi dalam industri perkhidmatan air.
Acara yang buat julung-julung kalinya diadakan ini telah menerima 149 pendaftaran dan kemudian disenarai pendek dan dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa kelayakan secara maya yang melibatkan 38 penyertaan berpasukan. Seterusnya, ini diikuti dengan fasa akhir secara fizikal, yang mana 10 pasukan teratas bersaing dengan pembentangan idea mereka di Hotel Avante, Petaling Jaya. Acara kemuncak ini berakhir dengan pasukan Fresh Air dari Universiti Malaya yang telah dinobatkan sebagai pemenang yang mana mereka telah menyakinkan para juri dengan idea bernas mereka menerusi penyelesaian Sistem Sentinel HydroRise, yang bertujuan untuk memantau dan meramal kebocoran dalam sistem paip agihan Air Selangor.
Ir. Abas Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor berkata, “Sambutan kepada acara Data & Digital Hackathon, yang buat julung-julung kalinya diadakan oleh penyedia perkhidmatan air di Malaysia, agak menggalakkan. Ia memberi inspirasi untuk kita menyaksikan kesungguhan dan kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh para peserta. Hackathon ini bertujuan untuk memperkasakan kehidupan 9.3 juta pengguna kami di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya dengan mempromosikan inovasi, kerjasama, dan penyelesaian yang berkesan, yang seterusnya menggerakkan industri ke arah pendigitalan yang tidak dapat ditangguhkan lagi.
“Kami yakin bahawa penglibatan orang awam termasuk pengguna kami dalam Hackathon ini bukan sahaja penting tetapi amat bernilai. Ia menyediakan peluang yang unik bagi mereka untuk menyumbang pandangan, idea, dan maklum balas mereka secara terus untuk meningkatkan lagi perkhidmatan operasi air. Intipati pandangan mereka yang berharga ini bukan sahaja dapat membuka lembaran baru tetapi juga membentuk perjalanan Air Selangor ke arah penyelesaian dan perkhidmatan yang lebih berpusatkan kepada pengguna.
“Dengan memanfaatkan bakat dan pengetahuan daripada pelbagai komuniti, kami membuka jalan kepada penyelesaian rintis yang dapat memberi definisi baharu kepada masa depan pengurusan air.”
Semasa acara Hackathon secara fizikal berlangsung, peserta juga berpeluang meneroka gerai pameran interaktif yang mempamerkan pelbagai inisiatif digital Air Selangor. Ini termasuklah penyelesaian Analitik dan Kecerdasan Buatan yang canggih, penyelesaian Pendaya Digital yang inovatif seperti aplikasi mudah alih untuk pengguna dan warga kerja, serta teknologi Ruang Digital dan Operasi Digital yang maju seperti penyelesaian ICC dan iERP.
Semua penyertaan telah disemak dengan teliti oleh panel pakar daripada Air Selangor dan juri jemputan dari firma perunding ternama seperti EY dan PwC.
Air Selangor ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Hackathon Data & Digital Air Selangor 2024:
Hadiah tempat pertama berjumlah RM10,000.00 (Pasukan Terbuka Awam): Fresh Air
Hadiah tempat kedua berjumlah RM5,000.00 (Pasukan Terbuka Awam): Air Force
Hadiah tempat ketiga berjumlah RM3,000.00 (Pasukan Terbuka Awam): The HackSmith
Hadiah bagi kategori warga kerja berjumlah RM2,000.00 (Warga Kerja Air Selangor): Neroz
-TAMAT-