7:30 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan gangguan bekalan air akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas (LRA Bukit Nanas) pada 21 Jun 2024 (Jumaat) berikutan insiden peningkatan warna dalam air terawat di LRA Bukit Nanas, yang mana Air Selangor masih sedang menyiasat punca insiden tersebut.
Berikutan kejadian ini, sebahagian kawasan di wilayah Kuala Lumpur sedang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. Senarai kawasan yang terjejas adalah seperti di Lampiran A.
Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
-TAMAT-