Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), penyedia perkhidmatan air terbesar Malaysia menerbitkan Laporan Kelestarian 2023 untuk tahun keempat dengan tema “Memacu Kelestarian Ke Hadapan”. Laporan ini menggariskan inisiatif dan rekod pencapaian Air Selangor bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023, serta komitmen dalam mengukuhkan jaminan sekuriti air di peringkat serantau dan tempatan melalui amalan kelestarian dan kecekapan operasi. Usaha ini selaras dengan aspirasi Air Selangor untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.
Air Selangor juga telah mencatatkan pelbagai pencapaian melalui inisiatif kelestarian pada tahun 2023 seterusnya memberikan impak yang positif kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial. Antara pencapaian ini termasuk:
- Purata margin rizab air meningkat secara ketara sebanyak 15.34% berbanding 12.02% pada tahun 2022, berikutan bekalan tambahan sebanyak 275 juta liter sehari (JLH) dari Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 Koridor Barat bermula 27 Ogos 2023, serta kapasiti agihan tambahan sebanyak 250 JLH oleh LRA Sg Rasa bermula November 2023, dan dijangka meningkat kepada 17.70% menjelang 2030,
- Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang lebih rendah pada 27.75, penurunan sebanyak 0.01% daripada 2022,
- Pematuhan Standard Kualiti Air Minuman Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak 99.93% manakala pematuhan Program Jaminan Kualiti (QAP) adalah 100%,
- Kapasiti untuk menghasilkan bekalan air telah mencapai 5,227 JLH, peningkatan sebanyak 110 JLH daripada 2022,
- Pelancaran Visi Tenaga Net Zero 2040 bagi mencapai penggunaan tenaga yang lestari dan sifar karbon menjelang 2040. Dengan visi ini, Air Selangor akan menjana 1,460GWh elektrik hijau setiap tahun, mengurangkan 1.1 bilion kg pelepasan CO2 dan mengurangkan 15% Indeks Tenaga Korporat dalam tempoh 15 tahun.
- Pencapaian skor keseluruhan sebanyak +4 bagi Skor Promoter Bersih (Net Promoter Score) dalam tinjauan Indeks Kepuasan Pelanggan (Customer Satisfaction Index), daripada +14 pada tahun 2022. NPS ialah metrik penyelidikan pasaran global untuk mengukur kesetiaan dan kepuasan pelanggan,
- Sumbangan berjumlah RM437,737 yang telah membantu lebih 1,700 keluarga, individu dan rumah kebajikan melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara,
- Seramai 285,673 penerima manfaat Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan golongan kurang bernasib baik diberikan akses kepada air terawat yang bersih dan selamat, dengan kos lebih RM30 juta ditanggung oleh kerajaan Negeri Selangor setiap tahun.
Kejayaan dan pencapaian ini membuktikan komitmen Air Selangor dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan bagi setiap usaha yang dijalankan, bukan sahaja untuk menyepadukan inisiatif kelestarian operasi, bahkan juga tadbir urus yang kukuh, amalan perniagaan yang beretika dan pembiayaan secara mampan.
Pada tahun 2023, Air Selangor mencatatkan pendapatan RM2.82 billion, peningkatan sebanyak 15.1% daripada RM2.45 billion yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut adalah hasil daripada pelbagai pendapatan operasi Air Selangor. Air Selangor akan terus melabur dalam pengurusan serta pentadbiran bekalan air dalam jangka masa panjang untuk 9.3 juta penggunanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, di mana pelarasan tarif bersesuaian dan holistik dapat memastikan peningkatan kualiti perkidmatan secara berterusan.
Air Selangor mencatatkan perbelanjaan CAPEX sebanyak RM0.56 bilion pada tahun 2023, berbanding RM2.68 bilion pada tahun 2022, di mana sebahagian besar telah dibelanjakan untuk projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 pada tahun 2022 (RM1.97 bilion). Setelah dilaraskan bagi tahun 2023, terdapat peningkatan sebanyak 18.8% dalam perbelanjaan CAPEX berbanding RM467.99 juta pada 2022 (tidak termasuk Rasau).
Sehingga 31 Disember 2023, Air Selangor telah melaksanakan enam (6) penerbitan Sukuk Kelestarian, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.13 bilion sejak penerbitan pertama pada 29 Oktober 2021. Sukuk Kelestarian ini diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek berkaitan bekalan air, pengurusan air lestari, dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui. Ini termasuklah pembangunan kemudahan rawatan air baharu, penyenggaraan kemudahan sedia ada, program penggantian paip, dan projek Tenaga Boleh Diperbaharui untuk Air (RENEW).
Selain itu, Program NRW Reduction Becoming Mainstream yang dilancarkan pada Julai 2023 juga merupakan langkah proaktif syarikat dalam menggalakkan keterlibatan pengguna dan kakitangan Air Selangor dalam usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil atau Non-Revenue Water (NRW). Melalui aplikasi Air Selangor, pengguna kini boleh melaporkan kebocoran paip, paip pecah, kebocoran meter, atau pemasangan paip haram dengan mudah dan secara langsung membantu Air Selangor dalam komitmennya untuk memastikan pengurusan pengagihan air yang lestari dan efisien.
Air Selangor kekal komited dalam menggerakkan segala usahanya untuk merealisasikan aspirasi untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.
Laporan Kelestarian 2023 Air Selangor boleh didapati di https://hydrohub.airselangor.com/publication/2023-sustainability-report/
-TAMAT-