1:30 tengah hari
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan status terkini gangguan bekalan air akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Sehingga jam 12:00 tengah hari, peratusan pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat telah mencapai 24.6%. Jadual pecahan jangkaan masa dan peratusan pemulihan bekalan air mengikut kumpulan adalah seperti berikut:
Kumpulan | Peratusan Pemulihan |
Kumpulan 1 | 47.9% (Pemulihan penuh dijangka pada 8:00 pagi, 25 Julai 2024) |
Kumpulan 2 | 8.4% (Pemulihan penuh dijangka 8:00 malam, 25 Julai 2024) |
Kumpulan 3 | 0% (Pemulihan penuh dijangka pada 8:00 pagi, 26 Julai 2024) |
Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 40% pada jam 8:00 pagi, 25 Julai 2024 (Khamis) diikuti dengan 90% pada jam 8:00 malam, 25 Julai 2024 (Khamis). Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 8:00 pagi, 26 Julai 2024 (Jumaat). Senarai kawasan yang masih belum pulih adalah seperti di Lampiran A.
Untuk makluman, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.
Air Selangor terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai di Lampiran B.
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
– TAMAT –