Kuala Lumpur – Sempena sambutan Hari Kebangsaan bulan ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneruskan usaha murni bagi berkongsi kegembiraan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sesama Mara dengan menghulurkan bantuan kepada warga rumah kebajikan.
Menerusi inisiatif ini, Air Selangor telah menyumbang barangan keperluan asas seperti makanan dan barangan keperluan asas lain kepada tiga (3) buah rumah kebajikan kanak-kanak iaitu Rumah Kebajikan Anbu Illam, Kuala Lumpur; House of Joy, Puchong; serta Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh.
Selain memberi bantuan dan mengunjungi rumah kebajikan tersebut, pasukan sukarelawan Hydro Heroes yang terdiri daripada lapan orang warga kerja Air Selangor dan lapan orang sukarelawan daripada SAPOT, sebuah platform sokongan sosial turut mengadakan bengkel Self-Care Safari di Rumah Kebajikan Anbu Illam buat pertama kalinya. Bengkel ini bertemakan kesihatan mental bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Elina Baseri, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor berkata, “Sempena bulan kemerdekaan ini, Air Selangor terus komited untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti. Kolaborasi kali pertama dengan SAPOT ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk menyediakan ruang yang selamat dan bebas daripada stigma agar masyarakat dapat membincangkan isu kesihatan mental dengan lebih terbuka. Ini selaras dengan semangat kemerdekaan yang menekankan pembangunan masyarakat yang sihat dan sejahtera.”
Dalam pada itu, Air Selangor juga meluangkan masa menyantuni mereka dengan sambutan hari jadi dan nyanyian lagu kemerdekaan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan bulan ini.
Di bawah inisiatif Sesama Mara juga, Air Selangor telah mengagihkan bantuan barangan makanan asas Box of Hope kepada keluarga B40 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sejak mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020, sebanyak 5,835 kotak Box of Hope telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Orang ramai juga boleh menyumbang kepada Box of Hope secara fizikal di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTOWN Shopping Centre Cheras, 1 Mont Kiara, Central i-City Shah Alam dan Melawati Mall Ampang. Selain itu, Air Selangor juga telah melancarkan inisiatif Box of Hope versi digital yang membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui www.airselangor.com/boxofhope/.
Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman web Air Selangor di https://www.airselangor.com/sesamamara/.
-TAMAT-