29 OGOS 2021
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah berjaya mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk rekod “Penyertaan Terbesar Bagi Persembahan Lagu Secara Maya” sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64.
Rekod ini telah disahkan oleh Malaysia Book of Records semasa sesi nyanyian beramai-ramai lagu Tanggal 31 Ogos nyanyian asal oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad secara serentak pada 20 Ogos 2021 melibatkan 3,126 warga kerja di Ibu Pejabat serta semua pejabat wilayah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di sebalik kekangan yang dihadapi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, Air Selangor telah berjaya melaksanakan acara sambutan ini menerusi platform dalam talian. Acara ini diadakan dengan matlamat untuk menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan warga kerja Air Selangor, di samping terus mendukung semangat #kitajagakita sepanjang tempoh pandemik yang mencabar ini.
Air Selangor juga melancarkan video sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang menampilkan 64 wajah-wajah rakyat Malaysia mendeklamasikan sajak karya Sasterawan Negara, Dato’ Usman Awang juga dikenali dengan nama Tongkat Warrant yang bertajuk ‘Tanah Air” (Menjelang Kemerdekaan), dengan penampilan khas oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; tokoh bidang penulisan, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin; pengarah dan pelakon tersohor, Sabri Yunus; atlet-atlet negara, Shalin Zulkifli; Datuk Minarwan Nawawi dan Khalid Jamlus. Video ini boleh ditonton di media sosial Air Selangor seperti Facebook, Instagram, YouTube dan laman web Air Selangor.
Dengan tema Malaysia Prihatin, Air Selangor turut mengagihkan 150 Box of Hope kepada komuniti yang memerlukan bekalan makanan asas di sekitara Semenyih, Kajang dan Sungai Ramal pada 24 Ogos 2021.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-