Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini pelaksanaan kerja-kerja kecemasan bagi insiden paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur.
Sehingga jam 6:00 petang hari ini, pelaksanaan kerja-kerja kecemasan telah mencapai tahap 25%. Kerja-kerja pembaikan dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 11:30 pagi, 10 November 2021. Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna di 13 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja siap dilaksanakan. Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-