7:30 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini henti tugas loji-loji rawatan air iaitu LRA Sg Langat, LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 berikutan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan semalam, 19 Disember 2021.
Setakat jam 6:00 pagi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 17.7%. Pecahan peratusan pemulihan bekalan air di wilayah adalah seperti berikut:
Bil. |
Wilayah | Peratusan Pemulihan (%) |
1. |
Petaling |
100 |
2. |
Hulu Langat |
22 |
3. |
Kuala Lumpur |
10 |
Senarai kawasan yang telah pulih adalah seperti di Lampiran A. Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang telah pulih menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.
Untuk makluman semua, LRA Semenyih 2, LRA Sg Langat dan LRA Langat 2 telah beroperasi sepenuhnya. Bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air dan penilaian kerosakan berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan. Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini. Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutamanya melibatkan arus elektrik.
Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-