7:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan di tiga (3) wilayah iaitu Wilayah Petaling, Wilayah Hulu Langat dan Wilayah Kuala Lumpur yang terjejas berikutan henti tugas empat (4) loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada 19 Disember 2021.
Setakat jam 6:00 pagi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 87%. Pecahan peratusan pemulihan bekalan air mengikut wilayah adalah seperti berikut:
Bil. |
Wilayah | Peratusan Pemulihan (%) |
1. |
Petaling |
100 |
2. |
Hulu Langat |
89.9 |
3. |
Kuala Lumpur |
81.7 |
Senarai kawasan yang belum pulih adalah seperti di Lampiran A. Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang belum pulih menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.
Untuk makluman para pengguna, LRA Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini telah pulih sepenuhnya. Bagi LRA Sg Langat dan LRA Langat 2, kedua-dua loji telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada 11:00 malam, 22 Disember 2021. Bagi LRA Cheras Batu 11 pula, kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan. Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-