7:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan di tiga (3) wilayah, iaitu Wilayah Petaling, Wilayah Hulu Langat dan Wilayah Kuala Lumpur yang terjejas berikutan henti tugas empat (4) loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada 19 Disember 2021.
Setakat jam 6:00 pagi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 95%. Pecahan peratusan pemulihan bekalan air mengikut wilayah adalah seperti berikut:
Bil. |
Wilayah | Peratusan Pemulihan (%) |
1. |
Petaling |
100 |
2. |
Kuala Lumpur |
100 |
3. |
Hulu Langat |
91.4 |
Bagi kawasan-kawasan yang masih lagi terjejas, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 10:00 pagi, 24 Disember 2021. Senarai kawasan yang belum pulih adalah seperti di Lampiran A. Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang belum pulih menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki. Air Selangor berharap agar pengguna yang telah mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemat bagi memastikan kawasan-kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air mengikut jadual.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-