Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini menyalurkan sumbangan kepada warga emas dan kanak-kanak di empat buah rumah kebajikan iaitu Rumah Charis – Home For The Aged, Rumah Charis – Home For The Children, Good Samaritan Home Orphanage dan Rumah Orang Tua Ampang bersempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara.
Pada sambutan kali ini, 155 penghuni rumah-rumah kebajikan ini telah menerima sumbangan barang makanan harian. Sumbangan barangan keperluan sekolah juga turut diberikan kepada kanak-kanak di rumah-rumah kebajikan tersebut bagi memudahkan sesi pembelajaran mereka yang telah bermula.
Selain sumbangan dalam bentuk keperluan dan bekalan harian, kanak-kanak juga disantuni dengan pemberian paket ‘angpow’ dan dijamu dengan hidangan istimewa bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Selain itu, bagi memastikan keselesaan penghuni warga emas dan kanak-kanak yang tinggal di kesemua rumah kebajikan ini, Air Selangor turut akan melakukan pemeriksaan keadaan paip dalaman di rumah-rumah kebajikan tersebut.
Air Selangor berharap bantuan kecil yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membawa keceriaan kepada penghuni di rumah-rumah kebajikan tersebut dalam menyambut Tahun Baharu Cina.
Kesemua bantuan yang dihulurkan ini adalah di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat Sesama Mara yang merupakan inisiatif untuk membantu komuniti akar umbi di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
-TAMAT-