1:00 tengah hari
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan bagi insiden paip pecah di Rumah Pam Pudu Ulu Baru, Taman Pertama, Kuala Lumpur sedang dilaksanakan bermula jam 11:30 pagi, 30 April 2022.
Justeru, kerja-kerja pembaikan ini akan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 15 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur. Sila rujuk Lampiran A bagi kawasan-kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 9:30 malam, 30 April 2022. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-