Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bersama Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta), penerbit siri popular BoBoiBoy hari ini melancarkan episod keempat siri BoBoiBoy Air sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia. Episod keempat siri ini merupakan lanjutan usaha sama antara Air Selangor dan Monsta yang pertama kali dilancarkan pada Jun 2021 yang lalu.
Kolaborasi ini mengukuhkan lagi komitmen berterusan Air Selangor dalam mempertingkatkan kesedaran sivik orang ramai untuk menjaga alam sekitar terutamanya sumber air mentah. Melalui usaha ini juga Air Selangor mengambil langkah proaktif dan kreatif untuk menggalas peranan mendidik komuniti setempat tentang cara-cara penggunaan air yang bijak serta kepentingan aspek pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Menerusi satu sesi tayangan khas di Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley Megamall, Air Selangor bersama Monsta menjemput seramai 80 orang anak-anak yatim daripada Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dan Asrama Damai Kuang serta rakan media bagi menyaksikan episod keempat siri BoBoiBoy Air. Episod ini menceritakan perjalanan BoBoiBoy dalam menentang Raksasa Sampah bagi memastikan sungai terlindung daripada sebarang pencemaran.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, “Kami sangat berbesar hati untuk meneruskan usaha khidmat masyarakat dalam mendidik orang ramai yang merupakan pengguna air tidak kira di mana sahaja mereka berada kerana tanggungjawab untuk menjaga sumber air seperti sungai misalnya perlu digalas oleh semua pihak. Menerusi siri animasi BoBoiBoy Air ini, kami telah berjaya menjangkau lebih 7.7 juta tontonan dengan harapan mesej murni ini sampai kepada orang ramai dan dapat dijadikan amalan untuk kesejahteraan alam sekitar jangka masa panjang. Jika setiap daripada kita menjalankan tugas kita untuk menjaga sumber air daripada dicemarkan, saya yakin kita akan dapat menikmati faedahnya untuk tahun-tahun akan datang”.
Bercakap tentang kerjasama antara Air Selangor dan Monsta ini, Ketua Pegawai Eksekutif Monsta Nizam Abd Razak berkata, “Monsta berharap hasil kolaborasi bersama ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak bak kata pepatah, nak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Manfaatnya adalah untuk kita semua, sumber air yang bersih bukan sahaja untuk kebaikan kita sekarang malah akan diwarisi oleh generasi masa hadapan. Oleh itu besar harapan kami agar kolaborasi ini dapat memberikan tunjuk ajar tentang kepentingan sumber air bersih kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia.”
Selain memperkasakan usaha pemuliharaan sumber air menerusi siri animasi BoBoiBoy Air, Air Selangor juga turut memacu usaha pemuliharaan sumber air menerusi HydroSquad yang telah menampilkan selebriti dan personaliti tanah air, Nabil Ahmad, Aishah Sinclair dan Arwind Kumar atau lebih dikenali dengan persona Mak-Cik Roastmah. Bersama-sama Air Selangor, mereka membincangkan topik-topik pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air secara informatif melalui Water Handbook kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi siri Master Class HydroSquad Air Selangor yang boleh diikuti di laman Facebook dan Instagram rasmi Air Selangor.
Siri animasi BoBoiBoy Air boleh ditonton di laman Facebook dan Youtube rasmi Air Selangor untuk sama-sama memahami kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air mentah serta alam sekitar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Sebarang soalan boleh ajukan kepada Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-