9:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil telah dimulakan pada jam 9:00 pagi hari ini mengikut jadual seperti yang telah diumumkan pada 10 Jun 2022. Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 47 kawasan di Wilayah Petaling dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 pagi, 22 Jun 2022.
Kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air ini dijangka akan siap pada jam 9:00 malam, 21 Jun 2022. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan. Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah seperti di Lampiran A.
Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Bagi pelanggan komersial pula, pembelian air menggunakan lori tangki air masing-masing akan dibuka di satu stesen pengisian air setempat. Pelanggan komersial boleh membuat pembayaran untuk pembelian air tersebut di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-