Air Selangor Akan Laksana Pelarasan Tarif Bekalan Air Bagi Kategori Bukan Domestik dan Kategori Khas Selari Pengumuman KASA

Kuala Lumpur – Berikutan pengumuman oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berhubung pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air kategori bukan domestik dan kategori khas menerusi Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan bekerjasama dengan pihak kementerian dalam mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melaksanakan pelarasan tarif bekalan air bermula pada 1 Ogos 2022. Ini adalah untuk memastikan agar para pengguna yang terlibat mendapat maklumat yang tepat serta pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air yang lancar.

Sebagai operator air, pelarasan tarif bekalan air yang selari dengan peredaran masa dan keperluan ekonomi semasa adalah kritikal dalam memastikan perkhidmatan dan operasi optimum yang dapat mendukung pembangunan ekonomi secara menyeluruh. Namun begitu, pelarasan tarif bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya melibatkan kenaikan purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu (m3) air. Pelarasan ini hanya dilaksanakan setelah 16 tahun; iaitu sejak tarif bekalan air disemak pada tahun 2006 bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sepanjang tempoh ini, perbelanjaan modal (CAPEX) bagi pihak Air Selangor adalah terhad untuk menyenggara dan menambah baik asetaset bagi kesejahteraan para pengguna.

Untuk makluman, pelarasan tarif bekalan air ini adalah khusus bagi kategori pengguna bukan domestik dan kategori khas sahaja. Pengguna domestik tidak akan terkesan selari dengan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 24 Jun 2022. Kenaikan purata 20 sen bagi setiap meter padu (m3) air ini adalah satu jumlah yang berpatutan bagi operator air untuk memberikan perkhidmatan bekalan air terawat yang bersih dan selamat kepada pengguna komersial secara berterusan.

Sila rujuk Lampiran A bagi kadar tarif bekalan air baharu yang telah dilaraskan.

Sehubungan dengan pengumuman ini, Air Selangor akan memaklumkan para pengguna kategori bukan domestik dan kategori khas yang terlibat dengan pelarasan tarif bekalan air ini. Air Selangor juga akan berkongsi maklumat terperinci berhubung pelarasan tarif bekalan air dari semasa ke semasa. Untuk sebarang soalan atau kemusykilan mengenai pelarasan tarif bekalan air bukan domestik, para pengguna boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300.

Untuk maklumat mengenai Air Selangor, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …