9:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) pada jam 4:30 pagi, 11 Ogos 2022 berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM75.9 menuju Kuala Lumpur semalam.
Berikutan henti tugas tidak berjadual LRA Langat 2 ini, para pengguna di sejumlah 397 kawasan di tiga wilayah Air Selangor iaitu Petaling (3 kawasan), Kuala Lumpur (172 kawasan) dan Hulu Langat (222 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air bermula pada jam 10:00 pagi, 11 Ogos 2022.
LRA Langat 2 dijangka akan mula beroperasi semula pada jam 3:30 petang, 11 Ogos 2022 bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan. Bekalan air terawat akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.
Sila rujuk Lampiran A bagi kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-