3:00 petang
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
LRA Sg Semenyih sudah mula beroperasi pada jam 8:30 pagi hari ini, dan bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula pada jam 2:00 petang, 25 Disember 2022 (Ahad) dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6:00 pagi, 27 Disember 2022 (Selasa).
Sementara itu, bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut telah direkodkan di LRA Bukit Tampoi yang mana telah membolehkan LRA Bukit Tampoi untuk mula beroperasi semula pada jam 2:30 petang, 25 Disember 2022 (Ahad).
Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor terus giat menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terlibat bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-