Kuala Lumpur – Sempena ketibaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada Ahad ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara telah meraikan warga emas dan kanak-kanak di tiga buah rumah kebajikan.
Air Selangor menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan dan barangan keperluan rumah kepada Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Kenang Budi di Petaling Jaya, Pusat Kebajikan Chester di Taman Wangsa Permai, Kuala Lumpur, dan Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi, Cheras.
Penyerahan sumbangan Program Sesama Mara tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah.
Selain memberi bantuan dan mengunjungi kesemua rumah kebajikan tersebut, Air Selangor turut menghiburkan para penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Kenang Budi dengan aktiviti menggaul ‘yee sang’, dan bagi kanak-kanak yang mendiami Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi pula, mereka amat gembira dengan pemberian barangan kelengkapan sekolah, pakaian harian dan paket ‘angpow’.
Air Selangor juga mengambil inisiatif untuk memeriksa keadaan paip dalaman di rumah-rumah kebajikan ini untuk memastikan kesemua penghuni tinggal di dalam keadaan selesa.
Sumbangan yang dihulurkan ini diharap sedikit sebanyak dapat membawa keceriaan kepada kesemua penghuni di rumah-rumah kebajikan ini dan memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina mereka kali ini.
Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
-TAMAT-