2:00 pagi
Kuala Lumpur – Berikutan kenyataan rasmi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenai insiden pencemaran bau yang telah dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan henti tugas sementara empat loji rawatan air iaitu LRA Rantau Panjang serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).
Berikutan henti tugas LRA Rantau Panjang, LRA SPP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3 ini, lapan (8) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279 kawasan), Hulu Selangor (30 kawasan), Klang & Shah Alam (189 kawasan), Kuala Langat (3 kawasan), Kuala Lumpur (186 kawasan) dan Kuala Selangor (280 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 12:00 pagi hari ini. Senarai kawasan yang terjejas akan dimaklumkan dan diperincikan dari semasa ke semasa.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-