8:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang) serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) telah beroperasi sepenuhnya berikutan henti tugas sementara disebabkan insiden pencemaran bau yang telah dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang.
Berikutan itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula pada jam 6:30 pagi, 12 Februari 2023 (Ahad). Senarai kawasan yang terjejas adalah seperti di LAMPIRAN A.
Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor terus giat menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terlibat bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-