Air Selangor Anjur Bengkel Kesihatan Mental Bersama Rumah Kebajikan Sempena Sambutan Deepavali

 

Kuala Lumpur – Bagi berkongsi kegembiraan sempena perayaan Deepavali, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara telah menganjurkan bengkel interaktif kesihatan mental bersama kanak-kanak di Rumah Kebajikan Karunai Illam, Kuala Lumpur, di samping menyalurkan sumbangan kepada dua lagi rumah kebajikan lain iaitu Pertubuhan Kebajikan Thangam Illam (Ampang), dan Persatuan Kebajikan Sri Saradha Devi Illam (Rawang).

 

Bengkel kesihatan mental yang dikendalikan oleh SAPOT Warriors, penyokong rakan sebaya bertauliah yang terlatih dalam memberikan sokongan emosi, dan pasukan sukarelawan Hydro Heroes Air Selangor ini membantu peserta memahami dan menangani emosi mereka melalui seni kreatif tie-dye pakaian, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Deepavali mereka dengan penuh warna-warni.

 

Ini merupakan kali kedua Air Selangor menganjurkan bengkel kesihatan mental khususnya bagi kanak-kanak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mendekati komuniti dan menyokong kesejahteraan mental mereka.

 

Pada masa sama, Air Selangor turut menyumbang barangan keperluan asas seperti barangan dapur, makanan dan kelengkapan rumah kepada 83 kanak-kanak daripada tiga buah rumah kebajikan kanak-kanak tersebut.

 

Elina Baseri, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor berkata, “Setiap tahun, Air Selangor tidak melepaskan peluang untuk membawa keceriaan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi menjelang perayaan besar komuniti tempatan seperti Deepavali. Kami juga berharap dapat menyentuh kehidupan pelbagai lapisan masyarakat dengan rasa prihatin dan tanggungjawab sosial untuk komuniti melalui inisiatif ini.”

 

Di bawah payung Sesama Mara juga, Air Selangor mengagihkan bantuan barangan makanan asas Box of Hope kepada golongan yang memerlukan. Sebanyak 6,335 kotak Box of Hope telah diagihkan sehingga kini kepada keluarga B40 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak inisiatif ini mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020.

 

Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di https://www.airselangor.com/sesamamara/.

 

-TAMAT- 

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …