Air Selangor Raikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara hari ini meraikan sambutan Hari Raya Aidilifitri bersama 60 orang anak-anak yatim dan ibu tunggal bersama-sama dengan Media Prima Berhad bertempat di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Menerusi sambutan tersebut, Air Selangor telah menyumbang barangan keperluan rumah dan makanan asas serta bantuan perkhidmatan pembaikan paip dalaman kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim UMMI Selangor (Kajang)​, Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim/Miskin Rukaiyah (Kajang)​ dan Persatuan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah (Petaling Jaya).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah berkata selain dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik, sumbangan yang dihulurkan juga dapat meringankan beban kewangan mereka dalam menyambut perayaan. Air Selangor turut menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak dan ibu tunggal daripada pertubuhan kebajikan ini bagi menceriakan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri mereka.

“Melihat sambutan positif daripada penganjuran sambutan Hari Raya Aidilfitri Sesama Mara pada tahun lepas, kami teruskan penganjuran majlis ini pada tahun 2023 dengan harapan yang sama, seiiring dengan janji jenama kami ‘Joy in Every Drop’ untuk membawakan keceriaan kepada ahli komuniti, terutamanya anak-anak kecil dan ibu tunggal bersempena musim perayaan ini,” kata Ir. Abas.

Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan oleh Naim Daniel dan Sissy Imann. Di samping itu, penampilan khas BoboyBoi juga menarik perhatian kanak-kanak serta memeriahkan lagi majlis tersebut.

Selain itu, di bawah program Sesama Mara, Air Selangor juga membantu lebih ramai golongan yang kurang bernasib baik pada bulan Ramadan yang lalu dengan mengagihkan sebanyak 150 kotak Box of Hope yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung kepada keluarga B40 yang merupakan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR). Air Selangor turut menyediakan bantuan khas perayaan dan bantuan perkhidmatan pembaikan paip dalaman secara percuma untuk tiga (3) buah rumah kebajikan terpilih serta pemeriksaan kesihatan untuk 70 anak-anak yatim dan warga emas dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Damansara.

Sehubungan itu, menerusi program Sesama Mara, Air Selangor juga ingin mengajak orang ramai untuk sama membantu mereka yang memerlukan dengan pemberian sumbangan ikhlas Box of Hope berupa bantuan barangan makanan asas. Inisiatif Box of Hope ini telah diperkembangkan kepada platform digital bagi memudahkan orang ramai untuk memberikan sumbangan menerusi transaksi pembayaran secara dalam talian di www.airselangor.com/boxofhope/.

Selain itu, kaedah sumbangan Box of Hope secara terus dalam bentuk pembelian fizikal masih boleh dilakukan di lima (5) lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall.

Program Sesama Mara merupakan inisiatif akar umbi yang bertujuan untuk membantu komuniti sekeliling di samping memperkukuhkan hubungan Air Selangor bersama pelbagai lapisan masyarakat seperti komuniti setempat, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …