8 MEI 2021
Kuala Lumpur – Dalam menyemarakkan amalan bersedekah di bulan Ramadan dan membantu mereka yang memerlukan, Air Selangor telah menghulurkan bantuan kepada komuniti yang kurang bernasib baik pada 6 Mei dan 7 Mei 2021, menerusi program tanggungjawab sosial korporat Sesama Mara untuk memberi perhatian dan keriangan kepada komuniti ini menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Menerusi program ini, empat buah rumah kebajikan iaitu Asrama Baitul Rahmaniah, Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung dan Rumah Amal Raudhatul Jannah dengan jumlah keseluruhan penerima sumbangan adalah seramai 250 orang melibatkan warga emas, orang kelainan upaya, kanak-kanak dan bekas penagih dadah telah menerima sumbangan barangan keperluan makanan harian, barangan keperluan rumah, peralatan riadah serta pakaian Hari Raya.
Dalam pada itu, Air Selangor turut mengagihkan 100 kotak Box of Hope yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung kepada keluarga di sekitar Kuala Langat dan Hulu Selangor. Sumbangan ini diagihkan kepada penerima-penerima B40 oleh Yayasan Food Bank Malaysia.
Air Selangor berharap agar usaha baik ini dapat meringankan beban perbelanjaan rumah-rumah komuniti ini untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri terutamanya dalam situasi mencabar pandemik COVID-19 ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program Sesama Mara yang lain, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
– TAMAT –