Air Selangor dan Monsta Jalin Kerjasama Bagi Meningkatkan Kesedaran Kelestarian Air Dalam Kalangan Generasi Muda

Disiarkan pada 4 November 2024

 

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Monsta Studios Sdn. Bhd (Monsta) hari ini mengumumkan penganjuran “Peraduan Misi Jimat Air Bersama BoBoiBoy” untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kelestarian air dalam kalangan generasi muda.

 

Peraduan ini terbuka kepada pelajar sekolah rendah berumur tujuh hingga 12 tahun di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Melalui peraduan ini, peserta diminta menghasilkan video kreatif berdurasi maksimum dua hingga tiga minit yang memperlihatkan pandangan mereka berkenaan penjimatan air dalam usaha menangani perubahan iklim bagi masa depan yang lestari.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, “Kami berharap menerusi peraduan ini, generasi muda akan lebih peka terhadap kepentingan penjagaan sumber air. Dengan memulakan kesedaran ini sejak usia muda, kita mampu melahirkan individu yang bertanggungjawab terhadap penjagaan dan pemuliharaan air, memastikan sumber alam ini terus dipelihara untuk generasi akan datang.”

 

Video penyertaan hanya perlu dimuat naik di platform media sosial Facebook atau Instagram menggunakan akaun sekolah atau guru. Setiap video perlu disertakan dengan kapsyen yang menarik bersama tanda pagar #AirSelangor, #AirSelangorXBoBoiBoy, dan #MisiJimatAirBersamaBoBoiBoy. Pelajar juga perlu mengisi maklumat penyertaan melalui borang di laman web yang disediakan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Mohd Nizam Abd Razak berkongsi, “Monsta kekal komited bekerjasama dengan Air Selangor dalam melaksanakan inisiatif progresif melalui ikon BoBoiBoy bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu air dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda, sekali gus menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.”

 

Video pemenang akan ditayangkan dalam salah satu episod khas Air Selangor x BoBoiBoy selepas pertandingan ini dijalankan sehingga 3 Disember 2024. Pemenang juga akan menerima hadiah berupa dana bernilai RM15,000 untuk mereliasasikan impian mereka untuk mencantikkan kawasan sekolah atau membangunkan taman lestari.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan ini, sila layari www.airselangor.com/airselangorxboboiboy.

 

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …