7 OGOS 2021
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini melancarkan Water Handbook – Penggunaan dan Pemuliharaan yang Lestari untuk Individu dan Organisasi, sebuah buku dengan objektif untuk memupuk penggunaan air lestari dalam kalangan rakyat Malaysia. Water Handbook ini merupakan hasil kerjasama antara pakar-pakar di Air Selangor dan ahli akademik Universiti Malaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata penerbitan Water Handbook ini memfokuskan kepada tiga cabang utama iaitu Lestari, Pelihara dan Pulihara bagi memberi penekanan kepada usaha yang perlu dilakukan oleh para pengguna untuk menggunakan air secara lestari.
“Penerbitan Water Handbook – Penggunaan dan Pemuliharaan yang Lestari untuk Individu dan Organisasi ini merupakan hasil Memorandum Persefahaman di antara Air Selangor dan Universiti Malaya yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 2 April 2021 yang lalu. Kandungan buku ini selari dengan aspirasi kelestarian Air Selangor untuk mendukung SDG6 – Matlamat Air Bersih dan Sanitasi serta SDG13 – Matlamat Perubahan Iklim.
Kami berharap orang ramai dapat memanfaatkan buku ini untuk merealisasikan sasaran penggunaan air sebanyak 180 liter sehari bagi setiap individu oleh kerajaan,” jelas beliau.
Naib Canselor, Universiti Malaya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata projek usahasama strategik antara Air Selangor dan Universiti Malaya ini merupakan kesinambungan inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan air yang digerakkan secara kolektif melalui penerbitan Water Handbook ini.
“Ianya melibatkan sumbangan tiga tenaga pakar daripada Universiti Malaya [Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Fakulti Kejuruteraan, dan Fakulti Sains] yang turut disokong oleh Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).
Tema yang diangkat dalam penghasilan Water Handbook ini seperti Lestari, Pelihara, dan Pulihara adalah konsisten dengan Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals). Wadah kerjasama dengan Air Selangor ini juga telah membolehkan Universiti Malaya terus berkongsi kepakaran yang ada untuk manfaat bersama dalam usaha kami berbakti kepada negara dan memberi impak kepada dunia,” katanya.
Bagi memperkasakan usaha penggunaan air lestari, Air Selangor turut melancarkan HydroSquad yang menampilkan selebriti dan personaliti tanah air, Nabil Ahmad, Aishah Sinclair dan Arwind Kumar. Mereka akan bersama-sama mengalakkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air melalui Water Handbook ini kepada seluruh rakyat Malaysia.
HydroSquad akan mengendalikan siri Master Class bulanan dengan memberi pendedahan mengenai penggunaan air secara berhemat, pengetahuan praktikal dan senarai semak serta projek menarik yang boleh dilakukan bersama seisi keluarga. Setiap sesi Master Class ini akan menawarkan hadiah-hadiah istimewa untuk dimenangi berjumlah sehingga RM10,000.
Para pengguna boleh memuat turun Water Handbook di laman sesawang www.airselangor.com/waterhandbook untuk memahami kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air mentah serta bekalan air terawat yang amat tinggi nilainya kepada semua.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Sebarang soalan boleh ajukan kepada Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
– TAMAT –