Air Selangor Terbit Laporan Kelestarian Buat Kali Kedua, Rekod Prestasi Konsisten Bagi Tahun 2021

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini menerbitkan Laporan Kelestarian 2021, sekaligus menunjukkan komitmennya dalam terus meraih pencapaian memberangsangkan dalam bidang kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Dengan tema “Memupuk Ekosistem Air Yang Lestari”, laporan kelestarian ini memberi tumpuan kepada usaha dan strategi Air Selangor dalam terus memacu pengurusan dan pentadbiran bekalan air yang cekap dan lestari dalam jangka masa panjang kepada lebih 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air Selangor juga telah mencatatkan pelbagai pencapaian melalui inisiatif kelestarian pada tahun 2021 seterusnya memberikan impak yang positif kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial. Antara pencapaian ini termasuk:

  1. Kerjasama di antara Air Selangor dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk memulakan inisiatif air pulih guna untuk kegunaan industri melalui Central Water Reclamation Sdn Bhd (Central Water) bagi melaksana trend ekonomi pekeliling yang secara kolektifnya akan memacu ekonomi baharu.
  2. Kadar purata Air Tidak Berhasil atau Non-Revenue Water (NRW) yang telah diaudit secara rasminya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor sebanyak 27.93% yang juga bersamaan dengan penjimatan air sebanyak 192.50 juta liter sehari (JLH). Ini secara tidak langsung mengoptimakan kos operasi serta menjamin kecekapan sumber kami.
  3. Pelaksanaan pelbagai inisiatif akar umbi menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara Air Selangor bagi membantu 1,629 keluarga dan individu dalam kalangan komuniti akar umbi khususnya golongan B40 yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
  4. Pematuhan Piawaian Kualiti Air Minuman KKM sebanyak 99.80% dan pengagihan bekalan air terawat sebanyak 99.80% di kawasan pengagihan.

Pencapaian untuk tahun 2021 ini telah dicapai melalui perancangan strategik yang rapi, pelaksanaan inisiatif kelestarian dan program pengurangan NRW dalaman yang lebih meluas. Selain itu, pembukaan semula sektor ekonomi serta berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah membantu mempertingkatkan kemajuan kerja yang dirancang.

Pada Oktober 2021, Air Selangor juga telah melaksanakan penerbitan kedua di bawah Program Sukuk Murabahah dengan nilai RM10 bilion. Penerbitan RM1 bilion ini merangkumi Pelaburan Sukuk Kelestarian (SRI Sukuk) Air Selangor dengan nilai RM430 juta dan peringkat kedua penerbitan RM570 juta Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN). Ini adalah bagi membiayai dan melaksana projek pelaburan yang lestari, sejajar dengan pelaburan modal, strategi kelestarian dan matlamat pembangunan mampan utama kami.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah meluluskan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM5.09 bilion bagi tempoh operasi pertama (first operating period) berdasarkan Pelan Perniagaan 30:35 Air Selangor pada November 2020 yang lalu bagi pelaksanaan rancangan dan inisiatif strategik pengurusan bekalan air yang lestari.

Menerusi laporan kelestarian ini, Air Selangor menyokong semua 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau “Sustainable Development Goals” (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sokongan ini diterjemahkan melalui komitmen kami untuk mencapai lima (5) matlamat utama yang berkait dengan operasi kami iaitu Matlamat Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Matlamat Pertumbuhan Ekonomi dan Pekerjaan Layak (SDG 8), Matlamat Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (SDG 12), Matlamat Perubahan Iklim (SDG 13) serta Matlamat Keamanan, Keadilan Dan Institusi Yang Kukuh (SDG 16).

Menerusi Strategi Kelestarian Air Selangor 2020-2022, kami menyokong Matlamat Pembangunan Mampan atau “Sustainable Development Goals”  yang ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan memberikan tumpuan untuk mempertingkatkan daya tahan perkhidmatan bekalan air di samping turut menjamin bekalan air berterusan kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air Selangor kekal komited dalam menggerakkan segala usaha dan membuka ruang serta peluang  dalam usahanya untuk merealisasikan aspirasi sasaran sifar bersihnya untuk menjadi pelopor organisasi yang lestari dalam industri air di Malaysia dan rantau Asia.

Laporan Kelestarian 2021 Air Selangor boleh didapati di https://www.airselangor.com/about-us/performance-awards/?lang=ms.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …