Air Selangor Terbit Laporan Kelestarian Ketiga, Pamer Komitmen Berterusan dalam Usaha Mengekalkan Kelestarian

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia menerbitkan Laporan Kelestarian 2022 dengan tema “Ke Arah  Bekalan Air yang Berdaya Tahan” hari ini. Laporan komprehensif ini mengumumkan komitmen berterusan Air Selangor dalam usaha mencapai kelestarian dengan menangani isu bekalan air global yang kritikal serta menunjukkan pendekatan proaktifnya untuk membina daya tahan dalam mengurangkan risiko dan menjamin keselamatan air untuk negara.

Laporan tersebut merangkumi strategi, inisiatif dan program kelestarian oleh Air Selangor yang telah dijalankan serta rekod prestasi bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2022 dalam menguruskan kesan penggunaan material terhadap ekonomi, alam sekitar dan masyarakat bagi memacu kelestarian dan kecekapan pengurusan serta pentadbiran bekalan air dalam jangka panjang untuk lebih 9.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air Selangor telah mencatatkan pelbagai pencapaian menerusi inisiatif kelestarian bagi tahun 2022 termasuklah:

  1. Kadar air tidak terhasil (NRW) yang lebih rendah pada 27.76% pada 2022, penurunan sebanyak 0.23% daripada 2021,
  2. Purata margin rizab air sebanyak 12.02% dan dijangka meningkat kepada 17.70% menjelang 2030,
  3. Pematuhan Standard Kualiti Air Minuman Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak 99.85% dan 100% pematuhan Program Jaminan Kualiti (QAP),
  4. Pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di enam (6) tapak dengan kapasiti tahunan 9.3 Mwac setakat Disember 2022 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam menuju ke arah Neutral Karbon menjelang 2040,
  5. Memperoleh dua (2) pensijilan sistem pengurusan iaitu Sistem Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (Business Continuity Management System) ISO 22301:2019 dan Pusat Hubungan Pelanggan (Customer Contact Centres) ISO 18295-2:2017 yang menunjukkan keupayaan untuk mengurus risiko serta memastikan kesinambungan proses perniagaan kritikal,
  6. Pencapaian skor keseluruhan sebanyak +14 bagi Skor Promoter Bersih (Net Promoter Score) dalam tinjauan Indeks Kepuasan Pelanggan (Customer Satisfaction Index), daripada +5 pada tahun 2021. NPS ialah metrik penyelidikan pasaran global untuk mengukur kesetiaan dan kepuasan pelanggan,
  7. Sumbangan berjumlah RM459,165 yang telah membantu lebih 1,600 keluarga, individu dan rumah kebajikan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara,
  8. Seramai 301,549 penerima telah berjaya menerima manfaat Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan golongan kurang bernasib baik diberikan akses kepada air terawat yang bersih dan selamat, dengan kos lebih RM30 juta ditanggung oleh kerajaan Negeri Selangor setiap tahun.

Dengan perancangan yang rapi, teratur dan pelaksanaan yang berkesan, pencapaian Air Selangor pada 2022 menunjukkan peningkatan dalam menyepadukan inisiatif kelestarian dalam tadbir urus, pembiayaan dan operasi perniagaannya.

Pada 2022, Air Selangor mencatatkan pendapatan RM2.45 bilion, peningkatan 12.38% daripada RM2.18 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut adalah hasil daripada pemulihan ekonomi Malaysia berikutan kelonggaran dan penghapusan sekatan COVID-19, serta pelarasan tarif bagi kategori bukan domestik dan kategori khas yang telah mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2022. Walau bagaimanapun, peningkatan pendapatan ini masih tidak dapat menampung kos operasi dan perbelanjaan kapital, dan akan memberi impak kepada pengurusan operasi jangka masa panjang Air Selangor. Oleh itu, Air Selangor berharap pelarasan tarif air domestik dapat dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat bagi memastikan keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan dapat dicapai demi menjamin kelestarian ke arah bekalan air yang berdaya tahan.

Pada 2022 juga, Air Selangor telah meningkatkan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak 88.21% kepada RM2.58 bilion pada 2022 berbanding RM1.37 bilion pada 2021.

Pada Julai dan September 2022, Air Selangor telah menyelesaikan terbitan sukuk ketiga dan keempat di bawah Program Sukuk Murabahah RM10.0 bilion sedia ada. Kedua-dua terbitan tersebut melibatkan jumlah RM900 juta dan RM400 juta setiap satu bagi membiayai projek yang layak termasuklah bekalan air dan pengurusan projek air secara lestari, yang mana kesemuanya selaras dengan strategi kelestarian Air Selangor, serta membiayai, antara lain, perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja Air Selangor.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah meluluskan CAPEX berjumlah RM35 bilion untuk pelan perniagaan 30 tahun Air Selangor yang terdiri daripada tujuh (7) Pelan Strategik dan Inisiatif (SPI) dan lapan (8) Bidang Keberhasilan Utama (KRA).

Menerusi laporan kelestarian ini, Air Selangor menyokong semua 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sokongan ini diterjemahkan melalui komitmen kami untuk mencapai lima (5) matlamat utama yang berkait dengan operasi kami iaitu Matlamat Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Matlamat Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi (SDG 8), Matlamat Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (SDG 12), Matlamat Perubahan Iklim (SDG 13) serta Matlamat Keamanan, Keadilan Dan Institusi Yang Kukuh (SDG 16).

Melangkah ke masa hadapan, Strategi Kelestarian Air Selangor 2030 telah dibentangkan yang menangani lima (5) tonggak strategi utama yang merangkumi (i) Memperkukuh Tadbir Urus dan Meningkatkan Ketelusan, (ii) Mengurangkan Kesan Perubahan Iklim, (iii) Mengutamakan Kesihatan Pekerja, Keselamatan, Kecekapan dan Kepelbagaian, (iv) Menyampaikan Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan dan (v) Memanfaatkan Pendigitalan untuk Menyokong Ekonomi Pekeliling.

Air Selangor kekal komited dalam menggerakkan segala usaha dan membuka ruang serta peluang  dalam usahanya untuk merealisasikan aspirasi menjadi penyedia perkhidmatan air terulung di Asia menjelang 2030.

Laporan Kelestarian 2022 Air Selangor boleh didapati di https://hydrohub.airselangor.com/publication/2022-sustainability-report/.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …