Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengumumkan pemenang Peraduan Tap, Tap & Win X50 yang berakhir dengan penuh keseronokan dan kegembiraan pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Proton Regal Motors 4S, Petaling Jaya.
Daripada ribuan peserta yang menyertai peraduan ini, pemenang bertuah, Chuk Wai Yee berjaya memenangi hadiah Proton X50 bernilai lebih RM100,000.
Peraduan Tap, Tap & Win X50 merupakan inisiatif daripada Air Selangor untuk mempromosi pendaftaran bil air secara dalam talian, yang dikenali sebagai e-Bil. Pelanggan yang melanggan e-Bil akan menerima bil air mereka melalui platform digital iaitu emel atau aplikasi WhatsApp. Tambahan pula, dengan melanggan e-Bil, pelanggan boleh menyemak status akaun air mereka dengan mudah dan mempercepatkan proses pembayaran bil.
Peraduan ini yang berlangsung dari 10 Mei hingga 30 November 2022, telah menyumbang kepada kadar pendaftaran e-Bil Air Selangor oleh pelanggan kepada 65% pada tahun 2022 daripada 51% pada 2021, dan berjaya menarik peserta dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sehingga Disember 2022, sebanyak 1.6 juta pelanggan telah melanggan e-Bil, peningkatan daripada 1.3 juta pelanggan pada Disember 2021.
Untuk menyertai peraduan ini, peserta mesti melanggan e-Bil, memastikan tiada pembayaran bil air tertunggak semasa tempoh peraduan, dan berkongsi kod rujukan dengan rakan dan keluarga. Bilangan kod rujukan yang paling banyak digunakan berpeluang memenangi Proton X50.
e-Bil mula diperkenalkan pada Januari 2018 untuk mengurangkan jejak alam sekitar (environmental footprint) Air Selangor dan kos yang berkaitan dengan pengeluaran bil fizikal. Peralihan daripada pengebilan berasaskan kertas kepada e-Bil membolehkan pelanggan membayar bil mereka di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah berkata, “Kami sentiasa mencari cara untuk menambah baik penglibatan pelanggan kami dan salah satu caranya adalah dengan menggalakkan mereka untuk melanggan e-Bil. Oleh itu, peraduan ini merupakan platform terbaik untuk kami berbuat demikian dan untuk menangani isu penting seperti mengurangkan jejak alam sekitar kami.
“Memandangkan kebanyakan organisasi telah menerima pakai pendigitalan sebagai tindak balas kepada persekitaran perniagaan yang berubah-ubah akibat pandemik COVID-19, ini hanyalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang kami lakukan untuk mengembangkan pendigitalan operasi kami untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan pelanggan secara berterusan,” tambahnya.
“Sekalung tahniah diucapkan kepada pemenang, dan kami berharap hadiah yang disampaikan akan membawa kegembiraan kepada Puan Chuk Wai Yee,” kata Ir. Abas Abdullah.
Pemenang, Chuk Wai Yee berkongsi, “Saya berasa gembira dan sangat berterima kasih kepada Air Selangor kerana menganjurkan peraduan ini dan memberikan saya hadiah istimewa ini. Saya juga menggalakkan semua orang beralih kepada e-Bil kerana ia menjadikan hidup saya lebih mudah; ia membolehkan saya untuk mengakses maklumat bil air saya dan membuat pembayaran dalam talian pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.”
Pelanggan boleh beralih kepada e-Bil sekarang dengan mendaftar di update.airselangor.com atau memuat turun aplikasi Air Selangor.
Untuk maklumat menarik tentang air dan Air Selangor, layari Hydro Hub, platform kandungan sehenti untuk semua di hydrohub.airselangor.com.
-TAMAT-