7:30 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan satu lagi loji rawatan air terpaksa dihenti tugas iaitu LRA Semenyih 2 berikutan peningkatan paras air yang telah masuk ke rumah pam air mentah.
Berikutan henti tugas loji rawatan air ini, sebanyak 70 lagi kawasan di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.
Untuk makluman para pengguna juga, maklumat terkini bagi loji-loji rawatan air yang telah dihenti tugas adalah seperti yang berikut:
1. Bagi LRA Cheras Batu 11, operasi masih belum dimulakan berikutan limpahan air ke rumah pam.
2. Bagi LRA Sg Langat, kadar pengeluaran air telah dikurangkan berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi dan limpahan air ke rumah pam.
3. Bagi LRA Langat 2, penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan masih lagi dilaksanakan.
Jangkaan untuk semua loji-loji rawatan air ini beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini memandangkan paras air masih lagi berada pada paras kritikal. Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutamanya melibatkan arus elektrik.
Sebanyak 63 lori tangki air sedang digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-