Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja kecemasan bagi insiden paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kg. Chinchang, Salak Tinggi, Sepang telah siap dilaksanakan pada jam 2:00 petang hari ini.
Berikutan itu, bekalan air telah mula disalurkan kepada para pengguna pada jam 2:30 petang ini secara berperingkat-peringkat ke 145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat, setelah kerja-kerja siap dilaksanakan. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 10;00 pagi, 20 Oktober 2021.
Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-