Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja kecemasan bagi insiden paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur telah siap dilaksanakan pada jam 12:30 pagi, 10 November 2021.
Berikutan itu, bekalan air telah mula disalurkan kepada para pengguna di 13 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur pada jam 4:30 pagi secara berperingkat-peringkat setelah paras kolam-kolam air agihan distabilkan dan kualiti air mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12:30 pagi, 11 November 2021. Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-