7:00 pagi
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan injap bocor di Warta Lama, Jalan Kuching telah siap dilaksanakan pada jam 2.00 pagi, 31 Mac 2022. Kerja-kerja pembaikan ini mengalami kelewatan berikutan hujan lebat.
Bekalan air telah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna. Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-