Kerja-Kerja Penyenggaraan dan Penggantian Aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) Telah Dimulakan

9:00 pagi

 

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah dimulakan pada jam 9:00 pagi hari ini (Rabu) mengikut jadual seperti yang dimaklumkan pada 13 Mei 2024.

 

Kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset ini dijangka akan siap pada jam 7:00 malam, 5 Jun 2024 (Rabu) dan para pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada 3:00 pagi, 6 Jun 2024 (Khamis) setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.

 

Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 20% pada jam 3:00 petang, 6 Jun 2024 (Khamis) diikuti dengan 90% pada jam 3:00 pagi, 7 Jun 2024 (Jumaat). Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 12:00 tengah hari, 7 Jun 2024 (Jumaat). Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual serta jangkaan masa pemulihan penuh adalah seperti di Lampiran A.

 

Untuk makluman, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

 

Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Bantuan bekalan air alternatif menerusi 13 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai di Lampiran B.

Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor. Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat (4) stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat).

 

Air Selangor juga telah mengadakan sesi taklimat dengan wakil-wakil rakyat bagi kawasan yang terjejas pada 4 Jun 2024 bagi memastikan kelancaran pembekalan air untuk para pengguna.

 

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

 

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …