2 April 2021
Universiti Malaya (UM) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini mengumumkan satu kolaborasi penyelidikan bagi memacu usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air. Kolaborasi penyelidikan ini dilihat akan membantu menangani isu bekalan air termasuk pencemaran sungai dan seterusnya menjamin kualiti kehidupan masyarakat, terutamanya penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Usaha sama ini dilaksanakan dengan mengaplikasikan kepakaran dan hasil penyelidikan pakar-pakar UM dalam mencari penyelesaian terbaik kepada isu pencemaran sumber air di Sungai Selangor.
Kerjasama ini dijayakan melalui satu perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani oleh Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Syukor dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, En. Suhaimi Kamaralzaman.
Profesor Hamdi dalam ucapan beliau berkata kolaborasi seperti ini sejajar dengan visi atau wawasan baru universiti ini di mana Universiti Malaya ingin muncul sebagai “A Global University Impacting the World”. Semua hasil kerja penyelidikan dan penemuan ilmu baru tidak lagi tersimpan di menara gading, tetapi ianya perlu dimanfaatkan kepada negara dan juga dunia.
“Penyelidikan yang akan dijalankan tertumpu kepada kajian punca serta sumber masalah pencemaran dan cadangan penyelesaian serta kesan dari gangguan air khususnya di lembangan Sungai Selangor. Projek penyelidikan ini berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Lestari/ Mampan (SDG) 6 terutamanya sasaran 6.3 iaitu meningkatkan kualiti air ambien demi kesihatan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Melalui kerjasama ini juga, hasil akhir dari penyelidikan akan dimanfaatkan oleh Air Selangor bagi membantu meningkatkan keberkesanan dalam kempen kesedaran awam, pendidikan dan amalan air lestari,” beliau berkata.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berharap kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia seperti UM ini akan memberi impak kepada usahausaha Air Selangor untuk memastikan perkhidmatan bekalan air yang lestari kepada lebih 8.4 juta pengguna terutama dalam memulihara dan memelihara bekalan air untuk masa hadapan.
“Sebagaimana yang kita tahu, air merupakan satu anugerah yang sangat berharga. Sekiranya aspek memelihara dan memulihara bekalan air diabaikan, kita mungkin akan berdepan dengan situasi yang sangat mencabar dalam memastikan bekalan air yang lestari. Melalui usaha ini, kami mengharapkan agar lebih ramai orang awam terutamanya generasi muda akan terus peka dengan isu kepentingan air di masa kini dan juga masa depan,” tambah Suhaimi.
Untuk makluman, Skim Air Sungai Selangor merupakan sumber bekalan air bersih dan selamat terbesar yang menampung kira-kira 60% penggunaan air di Selangor dan Kuala Lumpur. Pemantauan sumber dan kualiti air mentah seperti sungai, empangan dan tasik di Selangor dijalankan oleh pelbagai agensi, termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Kerjasama serta perkongsian teknologi dan ilmu kepakaran universiti seperti ini boleh membantu pelbagai pihak agensi.
Selain itu, satu buku panduan mengenai penggunaan air yang berhemat akan diterbitkan bersama oleh UM dan Air Selangor dalam tahun ini. Air Selangor juga akan bekerjasama dengan pasukan Water Warriors UM untuk kempen kesedaran dan aktiviti bersama masyarakat.
-TAMAT-