9 APRIL 2021
Kuala Lumpur – Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan), antara pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, menjadi pelanggan pertama air pulih guna untuk kegunaan industri bukan berasaskan makanan atau minuman yang dihasilkan oleh Central Water Reclamation Sdn Bhd (Central Water) untuk kegunaan industri dan dibekalkan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Pada bulan yang lalu, Air Selangor dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) telah menandatangani perjanjian pemegang saham bagi memeterai usaha sama industri bekalan air pulih guna melalui syarikat tujuan khas Central Water, yang mana Air Selangor memegang 60% saham dan IWK pula memegang 40% saham.
Central Water ditubuhkan dengan misi untuk menerajui industri bekalan air pulih guna dengan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sedia ada di samping memelihara alam sekitar.
Central Water akan memulakan operasinya dengan penghasilan bekalan air pulih guna di loji rawatan di Setia Alam, yang akan seterusnya diagihkan oleh Air Selangor kepada Kossan melalui jajaran paip khas dari loji rawatan air pulih guna Central Water terus ke premis Kossan.
Central Water hari ini menandatangani perjanjian bekalan air pulih guna secara pukal dengan Air Selangor, manakala perjanjian bagi bekalan air pulih guna kepada tiga anak syarikat milik Kossan ditandatangani di antara Air Selangor dan Kossan.
Lanjutan daripada usaha ini, Air Selangor dan IWK melalui Central Water bakal mengenalpasti usahasama lain yang berkaitan dengan loji rawatan IWK termasuk lojinya di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam, bagi terus membangunkan industri bekalan air pulih guna untuk kegunaan pelbagai industri .
Ini merupakan komitmen jangka panjang Air Selangor dan IWK ke arah pembangunan industri air negara yang lebih cekap dan mapan bagi mendokong sasaran negara dalam mengitar semula 33% daripada efluen terawat negara pada 2030 di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017 – 2030.
-TAMAT-