Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa berlaku insiden penurunan paras kolam air di Kolam Air Sime UEP, USJ berikutan masalah teknikal iaitu ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke Kolam Air Sime UEP di Kg. Kenangan Puchong.
Berikutan itu, para pengguna di kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di Wilayah Petaling sedang mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah. Air Selangor sedang berusaha untuk mengatasi masalah ‘air lock’ ini dan akan menyalurkan bekalan air secara berperingkat-peringkat setelah paras kolam air agihan tersebut distabilkan.
Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya di semua kawasan pada jam 12:00 tengah malam, 21 November 2021. Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor akan menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-