12:00 tengah hari
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memulakan pelaksanaan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada 9:00 pagi esok. Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Klang/Shah Alam dan Wilayah Kuala Selangor. Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap pada jam 3:00 pagi, 23 Mei 2023 (Selasa). Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan telah siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan. Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 24 Mei 2023 (Rabu). Para pelanggan dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Kerja-kerja pembaikan kecemasan ini melibatkan paip saluran utama berukuran 2,200mm diameter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar. Oleh yang demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama.
Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air. Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual adalah seperti di Lampiran A dan boleh disemak di https://bit.ly/3OoULcX
Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Bantuan bekalan air alternatif menerusi empat Pusat Khidmat Setempat (PKS) bakal disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai di Lampiran B.
Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor Wilayah Petaling dan Wilayah Kuala Selangor. Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di tiga stesen pengisian air yang akan dibuka di lokasi seperti di Lampiran C.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-