Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 Bakal Beri Manfaat, Perkhidmatan Terbaik kepada lebih 11,000 Akaun Pengguna

20 Mei 2023

Telok Panglima Garang –  Projek Sistem Agihan dan Kolam Menara di bawah Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 dijangka menyediakan sistem infrastruktur bekalan air yang mampan serta mempertingkatkan margin simpanan air bagi memenuhi keperluan permintaan pengguna yang semakin meningkat disebabkan pembangunan di wilayah Kuala Langat dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024.

Menurut YB Tuan Ir. Izham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani Negeri Selangor ketika sesi lawatan tapak kerja projek di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, projek tersebut merupakan sebahagian daripada projek Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 yang pada mulanya dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor pada 2016, dan kini disambung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bagi pembinaan projek sistem agihan dan kolam-kolam menara.

“Projek ini akan meningkatkan kecekapan sistem bekalan air sedia ada melibatkan peningkatan tekanan air bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada 11,000 akaun pengguna di kawasan Telok Panglima Garang, Sijangkang dan Banting.

“Anggaran jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk skim ini mencecah hampir RM1 bilion,” menurut YB Izham.

Ir. Abas Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, pula menjelaskan bahawa Air Selangor telah mula melaksanakan projek sistem agihan dan kolam menara tersebut sejak April 2022, melibatkan pemasangan paip air terawat sepanjang 14 kilometer merangkumi paip berdiameter 355mm sehinggan 1600mm.

“Pembinaan tiga buah tangki air jenis menara (kolam menara) yang berkapasiti 4.5 juta liter setiap satu di kawasan Telok Panglima Garang, Sijangkang dan Banting ini akan dapat membekalkan air terawat yang bersih dan selamat serta memberikan manfaat kepada para pengguna di kawasan yang terlibat ini,” menurut Ir Abas.

Sebelum projek ini dimulakan, bekalan air bagi wilayah Kuala Langat bergantung kepada sumber utama dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih, SSP 1, SSP 2, SSP 3, dan sebahagian kecil dari LRA Sg. Labu dan Bukit Tampoi.  Sehingga kini, jumlah keseluruhan akaun untuk wilayah Kuala Langat adalah sebanyak 110,000 akaun dengan jumlah penggunaan harian sebanyak 220 juta liter sehari.

-TAMAT-

Related posts

default
Air Selangor Tambah Baik Aplikasi Mudah Alih dan Laman Web Jadi Leb...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) baru-baru ini menaik taraf aplikasi mudah alih dan laman webnya …

default
Air Selangor Bersedia Memenuhi Keperluan Air Untuk Menyokong Pertum...
Media

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, …

default
Air Selangor Memperkukuh Komitmen Terhadap Kelestarian dan Hak Asas...
Media

18 November 2024   Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui …