1:30 tengah hari
Kuala Lumpur – Berikutan kenyataan rasmi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenai insiden pencemaran yang telah dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) pada jam 6.15 pagi dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) pada jam 11.30 pagi , 3 Mei 2022.
Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi ini, sebanyak 472 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang hari ini. Sila rujuk Lampiran A bagi kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas. Para pengguna dikawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya sehingga bekalan air dapat disalurkan.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-