4.00 petang
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.
Bekalan air telah mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat. Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
Pada masa yang sama, Air Selangor telah mengagihkan lebih 2,000 botol air lima liter ke kawasan-kawasan kediaman pangsapuri sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Turut sama membantu dalam mengagihkan botol-botol air tersebut ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah dan ADUN Pelabuhan Klang, YB Azmizam Zaman Huri di Pangsapuri Pendamar, Pelabuhan Klang.
Air Selangor akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-