8:30 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Kedua-dua LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna. Bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas oleh henti tugas sementara LRA Bukit Tampoi dijangka akan pulih sepenuhnya pada 2:00 petang, 26 Disember 2022 (Isnin), manakala kawasan-kawasan yang terjejas oleh henti tugas sementara LRA Sg Semenyih dijangka akan pulih sepenuhnya pada 6:00 pagi, 27 Disember 2022 (Selasa).
Sehingga jam 7:00 malam, status pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas telah mencapai 16%. Senarai kawasan-kawasan yang sudah pulih adalah seperti di Lampiran A. Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
-TAMAT-