1:00 tengah hari
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan status terkini gangguan bekalan air akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Sehingga jam 12:00 tengah hari, peratusan pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat telah mencapai 93.5%. Jadual pecahan jangkaan masa dan peratusan pemulihan bekalan air mengikut kumpulan adalah seperti berikut:
Kumpulan | Peratusan Pemulihan |
Kumpulan 2 | 91.8% (Pemulihan penuh dijangka 8:00 malam, 25 Julai 2024) |
Kumpulan 3 | 73.6% (Pemulihan penuh dijangka pada 8:00 pagi, 26 Julai 2024) |
Bagi Kumpulan 2, pemulihan penuh dijangka pada pada jam 8:00 malam, 25 Julai 2024 (Khamis), manakala bagi Kumpulan 3, pemulihan penuh dijangka pada jam 8:00 pagi, 26 Julai 2024 (Jumaat). Senarai kawasan yang masih belum pulih adalah seperti di Lampiran A.
Untuk makluman, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.
Air Selangor terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Bantuan bekalan air alternatif menerusi sembilan (9) Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai di Lampiran B.
Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor wilayah Sepang atau Hulu Langat. Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua (2) stesen pengisian air yang telah dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat) dan Taman Gemilang Dengkil (wilayah Sepang).
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
– TAMAT –