7:00 malam
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Bernam (LRA Sungai Bernam) berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat aliran kepala air di Sungai Bernam.
Sehingga jam 6:00 petang, Air Selangor masih lagi menjalankan pemantauan kualiti air secara berkala bagi mengukur kadar kekeruhan air mentah di Sungai Bernam. Bantuan alternatif melalui lori tangki telah digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com. Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
– TAMAT –